KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM) kekal yakin dengan penjualan kenderaannya di Malaysia berikutan sentimen pengguna yang lebih baik memandangkan ekonomi yang terus pulih daripada kesan pandemik.
Ketua Pegawai Eksekutif Shinya Ikeda berkataa walaupun ketika sekatan pergerakan dan situasi COVID-19 bertambah buruk dengan kemunculan varian baharu, permintaan kenderaan Mitsubishi kekal dalam aliran menaik sehingga kini.
“Malaysia adalah sebuah negara unik di rantau ASEAN dengan penduduk yang suka menikmati aktiviti luar dan kerajaan Malaysia juga telah melakukan usaha yang baik dalam meningkatkan keyakinan pengguna.
“Pada separuh pertama 2022, Mitsubishi Motors menjual 4,820 unit Triton, meningkat 44 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya semasa pelancaran Mitsubishi Triton – Phantom Plus Edition di sini hari ini.
Triton – Edisi Phantom Plus, terhad kepada 1,000 unit dan hanya tersedia dalam warna mika hitam pekat, “direka untuk meningkatkan gaya hidup bandar pelanggan dan minat untuk aktiviti luar,” kata pembuat kereta itu dalam satu kenyataan.
Kenderaan itu berharga RM139,700 seunit di Semenanjung Malaysia – di atas jalan raya dan tanpa insurans untuk pendaftaran persendirian serta didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 200,000 kilometer, mana-mana yang terdahulu.
Bagi di Sabah, ia berharga RM141,700, Sarawak (RM141,750), Langkawi (RM131,902) dan Labuan (RM134,353). -TVS