KUCHING, 3 Ogos : Penglibatan anak muda dalam Kuching Festival And Food Fair 2022 (KFF) merupakan langkah awal bagi golongan itu menceburi bidang keusahawanan dengan lebih serius.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, pesta gastronomi ini juga membolehkan usahawan muda Sarawak khususnya bidang makanan dan dan minuman untuk berinovasi dan menampilkan idea kreatif masing – masing.
Katanya, ini penting untuk memantapkan pengalaman keusahawanan dan mengasah kemahiran.
“Oleh itu, penglibatan mereka di sini bukan sekadar teori tetapi secara praktikal,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan KFF di sini semalam.
Sementara itu, Dr. Sim berkata, KFF bukan sekadar pesta makanan sahaja sebaliknya merupakan platform untuk budaya tempatan kepada orang luar.
“Pesta ini sebenarnya juga melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga badan persahabatan dari China dan Korea Selatan,” katanya.