KAPIT, 31 Julai : Mayat seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hilang dalam tragedi perahu karam di Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang dekat sini, petang Jumaat lalu ditemukan awal pagi tadi.
Mayat Ngalang Demong, 73, ditemui terapung oleh jurugan sebuah kapal tongkang pada pukul 5 pagi, kira-kira 10 kilometer (km) dari tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Kapit) Timoty Barat berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu tiba di lokasi pukul 9.09 pagi tadi.
“Mayat kemudian diangkat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam kejadian kira – kira pukul 4.30 petang itu, kedua – dua mangsa dari Nanga Pelagus hilang selepas perahu mereka karam dipukul arus deras ketika keluar menjala ikan.
Seorang lagi yang masih hilang dikenali sebagai Richelles Seli Lasu, berusia 21 tahun.
Sementara itu, operasi SAR hari kedua melibatkan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dua anggota polis dan tiga dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) diteruskan di sekitar kawasan kejadian. -TVS