JAKARTA, (INDONESIA) , 30 Julai : Indonesia mula menyekat platform Yahoo, Paypal dan beberapa laman sesawang permainan kerana gagal mematuhi peraturan pelesenan.
Tindakan itu dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Penerangan negara berkenaan menerusi surat yang dikeluarkan terhadap lapan penyedia perkhidmatan elektronik popular.
Ketua Pengarah Aplikasi Informasi kementerian berkenaan, Semuel Abrijani Pangerapan berkata, antara yang turut disekat termasuklah permainan dalam talian Dota, Counter Strike, Epic Games, Origin.com dan platform data, Xandr.com.
“Sekatan ini bersifat sementara dan akan dibuka semula selepas kesemua pengendali melengkapkan proses pendaftaran,” katanya.
Difahamkan ketika ini lebih 200 pengendali asing dan 8,000 domestik telah berdaftar sebelum tarikh tutup pada minggu lepas.
Antara syarikat yang ‘akur’ terhadap arahan Kerajaan Indonesia itu termasuklah Zoom, Twitter, Netflix, Spotify, Facebook, Instagram, WhatsApp, Google dan YouTube. -TVS