KUCHING, 24 Julai : Si isteri yang kehilangan suami dipanggil balu manakala suami yang berdepan situasi sama pula digelar duda.
Bagi si anak yang kematian ibu bapa akan dirujuk masyarakat sebagai yatim piatu namun tiada ‘gelaran’ diberikan kepada ibu bapa yang kematian anak mereka.
“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
“Hanya boleh dirasai dan difahami,” demikian luah Noorsalehan Noor.
Guru wanita berusia 52 tahun ini merupakan ibu kepada Noornadiah Nazirah, 23, yang meninggal dunia selepas dijangkiti COVID-19 pada 9 April 2020.
Terima ijazah bagi pihak anak yang meninggal akibat COVID-19
Baru-baru ini, Noorsalehan ‘naik pentas’ pada Majlis Konvokesyen Kemomoratif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer bagi pihak anaknya.
Gambar dan video dikongsi mengenai detik menyayat hati itu turut tular.
Bercerita kembali saat yang mencemaskan itu, Noorsalehan berkata, mereka sekeluarga merupakan antara yang terawal dijangkiti oleh virus maut itu di Sarawak.
Ditanya punca jangkitan, katanya, ketika itu dia dan suami Yatiman Karsodikromo mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan.
“Rakan setugas kami mendapat jangkitan melalui kluster tabligh di ibu negara,”katanya.
Kluster Perhimpunan Sri Petaling ketika itu merupakan kluster terbesar negara apabila seramai 42,023 individu disaring dengan 3,375 orang disahkan positif.
Katanya, mereka kemudian turut menjangkiti ahli keluarga yang lain termasuk anak -anak dan ibunya.
Permulaan keluarga menjalani kuarantin
Menurut Noorsalehan, selepas dia dah suaminya positif, mereka telah dibawa untuk menerima rawatan dan menjalani kuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Mac 2020.
“Pada masa itu, negara kita telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama.
“Ketiga-tiga anak perempuan kami turut dikuarantinkan sehari selepas saya dan suami disahkan positif namun mereka berada di wad isolasi berasingan di HUS,”katanya.
Menurutnya, dia risau setelah disahkan positif kerana mempunyai komplikasi penyakit namun berjaya melepasi tempoh memeritkan semasa menerima rawatan.
Keadaan sebaliknya terjadi kepada Noornadiah.
Ketika itu katanya, tidak banyak yang boleh dilakukan selain berdoa agar anaknya ‘mampu bertahan’.
Guru kaunseling ini memberitahu, lebih merisaukan ialah kerana anaknya turut mempunyai penyakit hypothyroid.
“Arwah mangsa yang ke-67 meninggal dunia akibat COVID-19 di seluruh negara dan korban yang paling muda pada ketika itu,”katanya.
Anak pengsan setelah dijangkiti
Mengimbau kembali kisah duka anaknya, Noorsalehan berkata, antara ‘kesan’ awal yang berlaku ialah Noornadiah pengsan ketika melakukan ujian saringan di Klinik Kesihatan Kota Samarahan.
Katanya, anaknya segera dibawa ke Bahagian Kecemasan dan Trauma HUS.
“Saya begitu risau apabila dimaklumkan keadaannya namun terpaksa kuatkan diri kerana ketika itu saya juga sedang bertarung nyawa selepas dijangkiti,”katanya.
Ujarnya, doktor yang merawat Noornadiah ketika itu memaklumkan perkembangan rawatan kepadanya.
“Mereka beritahu, anak saya terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur.
“Sebenarnya wad ICU itu berada di tingkat bawah tempat saya dan suami menjalani kuarantin namun kami tidak boleh pergi melihat keadaanya.
“Noornadiah berada dekat dengan kami tetapi hakikatnya jauh,”katanya sambil mengesat air mata.
Keesokan harinya wanita ini memberitahu keadaannya semakin ‘baik’ dan diarahkan menyambung kuarantin di Pusat Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sarawak yang terletak bersebelahan dengan hospital.
Keadaan di hospital mencemaskan
Sementara itu, Yatiman, 55, berkata, situasi keluarganya ‘tidak begitu baik’ selepas mengetahui anaknya dimasukkan ke ICU.
Namun katanya, mereka sekeluarga tidak ada pilihan dan terpaksa ‘kekal bertenang’ bagi mengurangkan rasa gelisah.
“Saya bercelaru kerana pada waktu itu keadaan di hospital dan pusat kuarantin huru-hara.
“Setiap penjuru dengar bunyi orang batuk dan ada yang menangis.
“Perasan sangat takut kerana pada waktu itu, kita masih tidak mempunyai maklumat mendalam mengenai COVID-19,” ujarnya.
Tambah Yatiman, sebagai ketua keluarga, beliau berasa ‘lemah’ kerana gagal untuk menyatukan ahli keluarga saat diuji dengan wabak berkenaan.
Apa yang termampu dilakukan katanya ialah memberikan sokongan berterusan kepada isterinya.
“Luluh hati melihat keadaan isteri yang sedang menderita kerana COVID-19 namun pada masa sama, saya tahu dia sangat risaukan anak kami,”katanya.
Akhirnya Noornadiah pergi
Setelah 11 hari Noornadiah dirawat di ICU, mereka akhirnya menerima ‘berita yang paling ditakuti’ sejak dijangkiti virus itu.
Perkhabaran duka disampaikan iaitu Noornadiah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.42 pagi.
“Saya terdiam dan redha menerima kententuan Ilahi,”katanya.
Begitupun katanya, dia dan isterinya diberi ‘peluang’ untuk menyaksikan majlis pengembumian Noornadiah.
“Kenderaan kami diiringi oleh petugas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke Tanah Perkuburan Islam Semariang,”katanya.
Anak kedua yang disalah anggap sebagai bongsu
Mengenang anaknya, Norsalehan berkata, setelah pemergian arwah, kerinduan itu akan dirasai setiap kali menjelang waktu makan bersama.
“Anak saya rajin memasak dan selalu membantu di dapur. Sehingga hari ini saya masih terbayangkan dia berada di ruang tamu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah universiti.
“Arwah seorang yang penyayang dan manja sehingga ramai yang sangka dia anak bongsu,”katanya.
Yatiman yang kini mengajar di SMK Pending pula berkata, dia sangat rapat dengan Noornadiah kerana arwah sering menemaninya makan tengah hari.
“Isteri saya biasanya akan bertugas sehingga petang manakala saya yang mengajar sejarah Tingkatan Enam akan pulang lebih awal, jadi arwahlah yang selalu teman saya lunch,”katanya.
Tidak sempat vaksin
Bulan keempat virus yang mengejutkan masyarakat global, para saintis di seluruh dunia ketika itu berhempas pulas untuk mencipta vaksin.
Norsalehan berkata, sekiranya vaksin sudah ‘siap’ pada waktu itu, mungkin anaknya dapat bertahan namun dia menerima ketentuan Allah SWT.
Namun ada sedikit ralat di hati wanita ini apabila membaca berita golongan yang menolak vaksin dan membuat pelbagai andaian.
“Sekiranya vaksin telah wujud pada masa itu, saya wajibkan semua ahli keluarga saya untuk mendapatkannya.
“Saya yakin suntikan itu berkesan bagi melindungi golongan berisiko mendapat komplikasi yang lebih teruk selepas dijangkiti,”katanya.
Pertubuhan Amal Kasih Nadiah di UNIMAS
Kini, pasangan itu meneruskan kehidupan bersama dua anak mereka selepas hampir 27 bulan peristiwa sedih itu berlaku.
Namun mereka tidak mahu segala kenangan dengan puteri tercinta itu berlalu begitu sahaja sebaliknya ingin ‘memekarkan’ nama Noornadiah dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada insan lain.
“Kami berbincang dengan UNIMAS untuk menubuhkan sebuah badan amal dinamakan Pertubuhan Amal Kasih Nadiah.
“Tujuannya untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan bantuan.
Pasangan suami isteri ini berkata, itu juga merupakan proses pemulihan untuk mereka sekeluarga.
“Mummy dan daddy reda Noornadiah pergi buat selamanya, kami juga bakal menyusul,” akhiri Noorsalehan.
Al – Fatihah. -TVS