Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Acara perseorangan wanita dijangka sengit dalam pertandingan badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 29 Julai hingga 8 Ogos ini.

Birmingham 2022: Jin Wei sedia hadapi cabaran perseorangan wanita

ByBernama

KUALA LUMPUR, 24 Julai : Acara perseorangan wanita dijangka sengit dalam pertandingan badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 29 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kehadiran pemain tersohor yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia seperti pemenang pingat Olimpik dua kali dan pemenang pingat perak P.V. Sindhu dari India, pemenang edisi 2014 Michelle Li dari Kanada, pemenang pingat dua kali Kirsty Gilmour dari Scotland dan Yeo Jia Min dari Singapura, pastinya akan menyemarakkan cabaran di National Exhibition Centre Birmingham.

Begitupun, ia tidak mematahkan semangat Juara Remaja Dunia dua kali Goh Jin Wei, yang menjanjikan saingan terbaik dalam penampilan sulungnya di Sukan Komanwel 2022 kelak.

“Bagi saya pastinya banyak pesaingan dalam acara perseorangan wanita, jadi semua pemain akan mendapat peluang yang saksama, bergantung kepada siapa yang menyerlah pada hari pertandingan.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkannya…akan tumpukan pada perlawanan di sana dan lakukan yang terbaik selain menyumbang untuk pasukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Birmingham, malam tadi.

Baca > > > Kelompok besar atlet berlepas ke Birmingham 2022 semalam

Jin Wei, 22, yang kembali beraksi awal tahun ini selepas mengumumkan persaraan pada September tahun lepas atas alasan kesihatan berkata beliau kini semakin sihat dan kembali pulih.

“Saya tidak boleh tergesa-gesa. Saya perlu bangkit perlahan-lahan mengikut kemampuan dan memperbaiki kekurangan diri saya,” kata Jin Wei yang mengalami sakit dalam perut dan terpaksa menjalani pembedahan kolektomi pada 2019.

Beliau yang kini menghuni ranking ke-60 dunia telah berjaya mara ke suku akhir dalam tiga kejohanan tahun ini iaitu Terbuka Korea, Master Malaysia dan Terbuka Taipei yang sedang berlangsung selain peringkat separuh akhir di Antarabangsa Itali 2022.

Anak kelahiran Bukit Mertajam yang pernah menduduki ranking ke-24 dunia  itu mengakui keletihan selepas beraksi pada suku akhir Terbuka Taipei menentang Saena Kawakami pada Jumaat.

“Memang diakui saya agak penat kerana baru habis perlawanan pada Jumaat, tapi saya rasa penuh bersemangat untuk beraksi di Sukan Komanwel kerana mendapat sokongan pasukan Malaysia.

“Masih ada masa beberapa hari untuk berehat dan membuat persediaan sebelum pertandingan bermula. Jadi saya fikir pada masa itu, saya akan berada dalam keadaan baik,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan