SARATOK, 21 Julai : Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di hulu sungai Kampung Seberang Maludam dijumpai meninggal dunia dengan kesan dipercayai gigitan buaya.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB) berkata, mangsa ditemui oleh bapanya bersama tiga penduduk kampung yang meneruskan pencarian pada jam 2.00 pagi tadi.
Mayat lelaki terbabit katanya, ditemui terapung di hulu sungai berdekatan loji air Maludam yang jaraknya 2.1 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Ketika dijumpai, mayat mangsa dalam keadaan tidak sempurna, terdapat kesan gigitan buaya di muka serta kedua-dua kaki dan tangan mangsa juga sudah tiada (meninggal dunia).
Mangsa kemudiannya dibawa ke PKB menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihak polis di PKB untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca > > > Pasukan SAR kesan buaya berhampiran lokasi lelaki hilang di Maludam
Baca lagi > > > Lelaki hilang ketika keluar memancing di Sungai Maludam
Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, mangsa, Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27 dipercayai keluar memancing ikan seorang diri dengan berjalan kaki kira-kira jam 3.00 petang Selasa.
Bagaimanapun mangsa dikatakan tidak pulang hingga Rabu.
“Bimbang dengan keselamatannya, anggota keluarga tampil membuat laporan sebelum operasi SAR dilancarkan,” jelasnya. – TVS