KUCHING, 18 Julai : Mengakui kemampuan anak-anak Sarawak dalam bidang seni semakin meningkat, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh menyifatkan segelintir bakat yang dimiliki anak Sarawak hanya dibelenggu keselesaan diri.
Penyanyi ‘Angin Kencang’ itu menyifatkan tidak ramai dalam kalangan bakat muda Sarawak berani mengambil risiko untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kalau bakat anak Sarawak ini belajar untuk keluar berhijrah mengembangkan karya mereka, saya rasa sesuatu yang dahsyat akan berlaku dalam industri seni Sarawak.
“4 tahun lepas saya pernah ‘tour’ ke Jepun untuk membuat persembahan di hadapan masyarakat di sana (Jepun), mereka tidak memahami apa yang saya nyanyikan, namun saya tetap sahut cabaran itu.
“Sebab itu kita tidak mahukan bakat Sarawak yang pernah keluar di TV dan radio berhenti begitu saja, jangan terlalu selesa,” ujar Noh Salleh ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan rancangan Sejahtera Asia terbitan TVS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noh Salleh memberitahu beliau akan mengadakan dua konsert projek solonya ke Sarawak pada tahun ini.
“Untuk tour kumpulan Hujan mungkin agak susah sedikit memandangkan gitaris utama kami (AG Coco) kini sudah behijrah ke London. Jadi, saya ketika ini fokus dengan projek solo Noh Salleh,” ujarnya.