GEORGE TOWN, 17 Julai : Seorang ibu terpaksa menerima hakikat pedih apabila sekali lagi kehilangan anak dalam nahas jalan raya.
Ini kerana anak sulungnya merupakan salah seorang daripada tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan sekumpulan ‘mat motor’ di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.
Mashitah Md. Isa, 44, berkata, dia kehilangan Mohd. Syazwan Hakim Abdul Sani, 22, manakala pasangan kembarnya, Mohd. Syazwan Hafiz yang cedera dalam kemalangan itu sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.
“Anak ketiga saya meninggal dunia pada Mac lalu akibat kemalangan di Kedah dan hari ini keluarga kami menerima dugaan serupa.
“Sebaik menerima berita kejadian ini, saya hilang kata-kata namun gagahkan diri ke lokasi kejadian namun anak sulung sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HPP di sini hari ini.
Menurut Mashitah, dia tidak tahu bagaimana kemalangan itu menimpa dua anaknya, namun dua beradik kembar tersebut dikatakan menunggang secara berasingan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi, sekurang-kurangnya tiga dilaporkan terkorban dalam kemalangan jalan raya membabitkan sekumpulan ‘mat motor’ di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. -TVS