DUNIA dalam talian kini telah menjadi ‘sebahagian’ daripada kehidupan kita.
Tidak terkecuali bagi golongan kanak – kanak yang turut terdedah kepada peranti internet pada usia yang sangat muda untuk pelbagai tujuan.
Menurut Kajian Pengguna Internet 2020 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati seramai 56.3 peratus kanak-kanak melayari internet melalui peranti digital secara bersendirian.
Data ini tentulah membimbangkan memandangkan kemampuan internet menawarkan pelbagai maklumat serta sukar ‘dikawal’ sekaligus mendedahkan mereka terhadap risiko yang wujud.
Di sinilah peranan ibu bapa atau penjaga sangat ‘dituntut’ bagi membimbing dan seterusnya mengawasi aktiviti anak mereka dalam talian.
Ke arah misi kesejahteraan siber, CyberSecurity Malaysia telah menerbitkan panduan untuk membantu ibu bapa dan penjaga mendalami kemahiran siber dan menjadi lebih peka mengenai ancaman yang wujud.
Inisiatif ini juga bermatlamat supaya penjaga dapat menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat bagi anak-anak dan seterusnya mencapai kesejahteraan siber.
Ancaman dan Kebimbangan Siber
Sebagai ibu bapa, anda perlu sedar bahawa setiap pengguna bukan sahaja berisiko untuk menjadi mangsa ancaman siber malah juga mungkin boleh membahayakan orang lain sama ada secara sengaja atau tidak.
Oleh itu, mereka perlu dimaklumkan tentang risiko-risiko ancaman suber dan dibimbing agar menjadi pengguna yang selamat dan bertanggungjawab ketika berada dalam talian.
Langkah Pertama Bermula dari Ibu Bapa dan Penjaga
Ibu bapa dan penjaga disarankan untuk menghadkan masa mereka berinteraksi di alam maya terlebih dahulu sebelum meminta anak masing – masing berbuat demikian.
“Sebagai ibu bapa, anda perlu menunjukkan contoh yang baik semasa menggunakan internet terutama ketika melayari media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” menurut panduan CyberSAFE Parenting terbitan CyberSecurity Malaysia.
Jelas panduan itu, jika golongan dewasa kerap menggunakan perkataan lucah atau membuli pengguna media sosial yang lain, maka tidak mustahil anak-anak akan meniru perilaku itu.
Tips yang bersesuaian dengan umur anak-anak
Sebagai ibu bapa, anda perlu untuk mengetahui maklumat terkini mengenai rangkaian sosial, permainan dan aplikasi yang digunakan oleh anak – anak.
Oleh itu, biasakan diri dengan mencuba platform berkenaan bagi memahami bagaimana ia berfungsi dan seterusnya ‘memudahkan’ anda untuk mengawal aktiviti anak – anak.
Jelas CyberSecurity Malaysia, strategi keibubapaan secara tradisi atau dunia nyata amat sesuai untuk diamalkan dalam ‘keibubapaan siber’ iaitu ibu bapa melindungi anak-anak dengan mengawasi serta menyediakan peraturan yang mudah diikuti.
Seiring dengan peningkatan usia anak-anak serta aktiviti yang dilakukan, ibu bapa mestilah membimbing anak-anak supaya mereka memahami risiko siber dan cara melindungi diri daripada risiko ini serta cara meminta pertolongan apabila memerlukannya.
Ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak mengenai pengalaman internet mereka.
Jelaskan kepada anak-anak bahawa seperti tingkah laku di dunia nyata, tingkah laku dalam talian juga akan memberikan kesan terhadap diri rakan, keluarga dan orang lain.
Oleh itu, kanak-kanak perlu belajar untuk menggunakan Internet dengan selamat dan beretika bagi mengelakkan diri mereka daripada bahaya atau membahayakan orang lain.
Keibubapaan siber yang berkesan akan membantu kanak-kanak membesar sebagai ‘netizen’ yang baik di rumah dan di luar.
Prasekolah (Umur 6 tahun ke bawah)
- Hadkan masa penggunaan Internet anak anda.
- Duduk bersama dengan anak-anak anda dan awasi mereka semasa mereka menggunakan komputer atau peranti mudah alih.
- Gunakan perisian kawalan ibu bapa untuk menyekat laman web atau aplikasi yang tidak sesuai untuk mereka.
- Benarkan mereka melayari laman web yang telah ditandakan (bookmark) sahaja.
- Pilih ‘YouTube Kids’ dan hentikan fungsi ‘auto-play’.
Kanak-kanak (7 hingga 12 tahun)
- Hadkan masa penggunaan Internet anak anda.
- Berbincang dengan anak-anak anda tentang buli siber. Sepertimana kehidupan luar talian, pembuli dalam dunia digital juga ada.
- Bantu mereka untuk mengenali pembuli siber dan cara membuat laporan jika mereka menjadi mangsa buli siber.
- Mereka juga harus memahami bahawa membuli orang lain melalui kandungan dalam talian yang berbahaya atau menyakitkan hati merupakan satu kesalahan.
- Minta anak-anak anda memberitahu anda dengan segera sekiranya orang yang tidak dikenali menghubungi mereka dalam talian dan pastikan mereka tidak terlibat dengan perbualan dalam talian dengan orang yang tidak dikenali atau bersetuju untuk bertemu sendiri dengan orang itu.
- Pastikan anak-anak anda meminta kebenaran anda sebelum membeli atau memuat turun apa-apa sahaja di Internet.
- Jangan benarkan mereka memuat naik maklumat peribadi di mana-mana laman web tanpa pantauan.
Remaja (13 hingga 17 tahun)
- Hadkan masa penggunaan Internet anak anda.
- Tetapkan peraturan yang jelas tentang kandungan yang sesuai dipaparkan dalam talian seperti gambar, bahasa, maklumat peribadi dan sebagainya. Berbincang dengan mereka tentang jejak kaki digital dan bagaimana tindakan dalam talian mereka pada masa kini boleh memberikan kesan kepada mereka pada masa akan datang. Sebagai contoh, gambar atau komen dalam talian yang tidak sesuai mungkin boleh ditemui dan dibaca oleh bakal majikan, dan ini boleh menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang diinginkan.
- Berbincang dengan mereka tentang kesan-kesan pornografi dan perjudian dalam talian, serta keganasan, ketagihan, kebencian dan perkauman yang boleh berlaku jika melibatkan diri dengan komuniti dalam talian yang tidak sesuai.
Ke Arah Kesejahteraan Siber
CyberSAFE (Cyber Security Awareness For Everyone) merupakan inisiatif agensi keselamatan siber kebangsaan CyberSecurity Malaysia di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Program keibubapaan siber turut mendapat kerjasama National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO), DiGi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia (UM) untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu teknologi dan sosial yang dihadapi oleh pengguna internet, khususnya mengenai risiko yang dihadapi mereka secara dalam talian.
Sekiranya anda menghadapi sebarang ancaman atau insiden keselamatan siber, laporkan ancaman dan insiden tersebut ke Pusat Bantuan Cyber999 melalui Cyber999 Hotline di talian 1-300-88-2299, emel cyber999@cybersecurity.my, faks 03-8008 7000, laman web www.mycert.org.my/cyber999, telefon bimbit 019-266 5850 (kecemasan atau hantarkan SMS “Cyber999 Lapor <emel> <aduan>” ke 15888. – TVS