GEDONG, 16 Julai : Kerajaan Sarawak akan merangka dasar ekonomi menjurus kepada pengeksportan produk yang bakal memberikan impak positif kepada ekonomi negara menjelang 2030, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata dasar ini akan dibuat sejajar dengan dasar ekonomi nasional melibatkan sektor pertanian yang perlu dirangka dengan teliti dan jelas bagi memastikan Malaysia menjadi negara pengeksport bersih.
“Kalau ada dasar yang betul dari sudut pertanian, kita boleh jadi pengeksport bersih. Sarawak ada tanah yang luas, kuasa elektrik yang murah serta kita ada kepakaran.
“Kalau Sarawak mampu (melaksanakan dasar sedemikian), Malaysia pun mampu kerana ia akan beri kesan kepada ekonomi negara apabila kita dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Dataran Gedong, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Badrul Hisham Mohd dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamad Mustahapa Awang.
Sementara itu, Abang Johari yang juga Ahli Parlimen Gedong berkata sebuah kampus satelit mini Universiti Swinburne Sarawak akan diwujudkan di Gedong khusus bagi penyelidikan serta teknologi berkaitan padi dan pertanian.
Beliau menekankan pendekatan pertanian cara moden dan baharu perlu dilaksanakan di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil import.
“Beberapa hari yang lepas saya ada mengarahkan Pro Canselor University Swinburne untuk membina makmal di Gedong dan kita akan adakan satu lagi kampus satelit di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) untuk penyelidikan. Kerajaan negeri akan menanggung kosnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan makmal penyelidikan pertanian bakal dibangunkan di kawasan ini dengan padi biris, cili, pisang, tomato, avokado dan lada sebagai antara tanaman yang diberi perhatian. -TVS