KUCHING, 16 Julai : Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengumumkan penubuhan empat biro untuk melancarkan usaha pembangunan masyarakat di negeri ini.
Ketuanya, Miro Simuh berkata, ianya melibatkan Biro Penganjuran Program dan Aktiviti , Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Biro Sosial dan Kebajikan serta Biro Politik, Keahlian dan Perhubungan.
“Biro-biro ini kelak akan menjadi tulang belakang kepada kita untuk mencadangkan serta merancang program-program yang akan dibawa kepada penduduk.
“Bagi Biro Penganjuran Program dan Aktiviti, ia akan melibatkan perancangan kepartian, belia dan sebagainya di Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, Biro Ekonomi dan Keusahawanan pula sangat penting kerana Pergerakan Pemuda PBB melihat peranan belia yang sangat kritikal kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini merupakan cara untuk kita membawa belia terlibat dengan aktiviti ekonomi dan keusahawanan,” ujarnya.
Miro berkata, beliau yakin belia mampu memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi kerana dianggarkan sekitar 40 hingga 50 peratus penduduk di Sarawak terdiri daripada golongan berkenaan.
Bagi Biro Sosial dan Kebajikan pula katanya, ianya penting untuk memupuk kewujudan masyarakat prihatin di kalangan rakyat kita negeri ini.
“Seterusnya ini akan dapat membantu penduduk yang mungkin menjadi mangsa bencana alam pada masa hadapan,” katanya.
Mengenai Biro Politik, Keahlian, dan Perhubungan pula, Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu berkata, ianya akan menjadi tunjang utama dalam pergerakan itu untuk menerapkan nilai politik matang kepada belia.
Katanya keempat – empat biro baharu itu masing – masing akan diketuai ADUN Tellian, Royston Valentine, ADUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Machan, Allan Gramong dan Ahli Parlikem Sibuti, Lukanisman Abang Sauni. -TVS