KOTA KINABALU,15 Julai : Pertembungan top of the table Liga Super membabitkan Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti diramal berlangsung sengit namun pelawat membuktikan mereka ‘king’ liga ketika ini dengan kemenangan 2 -1.
Lebih dramatik, JDT bangkit pada minit akhir untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma oleh Fernando Martin Forestieri sekaligus mendiamkan sorakan hampir 30,000 penyokong Sang Badak di Stadium Likas.
Terdahulu, Sabah membuktikan mereka bersedia menerima kunjungan juara lapan kali itu apabila Park Tae-su membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-19.
Forestieri bekas pemain kelab Udinese, Itali kemudiannya bingkas memberi jawapan balas menerusi jaringan penyamaannya pada minit ke-26 sekaligus menjadikan aksi di tengah padang bertambah rancak.
Kedudukan itu kekal sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Bersambung babak kedua, permainan bertambah panas dengan aksi berbalas serangan namun kedua – dua pasukan gagal menambah jaringan.
JDT menggunakan pengalaman luasnya di pentas tempatan dan antarabangsa dengan memanfaatkan lima minit masa tambahan yang diberikan pengadil apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Kira – kira seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, Apek yang cemerlang mempertahankan gawang akhirnya tumbang selepas gagal menyambar bola sepakan percuma Forestieri.
Kemenangan itu menyaksikan JDT kekal sebagai peneraju Liga Super dengan 26 mata manakala Sabah FC di tempat kedua dengan 22 mata.
Dalam satu lagi aksi, Kedah Darul Aman FC tumbang buat kali kedua di Gong Badak dalam tempoh seminggu kepada Terengganu FC dengan keputusan 1-2. -TVS