PETALING JAYA, 15 Julai : Pharmaniaga Bhd akan mengkomersialkan ubat anti-koagulan (pencair bekuan darah) ovin (biri-biri dan kambing) halal negara menjelang 2024.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kerjasama syarikat dengan Suzhou Ronnsi Pharma Co Ltd (Ronnsi) China akan menjadi pemangkin laluan perdagangan produk farmaseutikal dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi ubat anti-koagulan tersebut.
“Pertama, kami akan menghasilkan bahan mentah untuk produk ini yang diperoleh daripada biri-biri dan kambing. Inisiatif ini boleh dijalankan dengan universiti tempatan yang mempunyai fakulti veterinar seperti Universiti Putra Malaysia and Universiti Malaysia Kelantan.
“Ini peluang baik kepada Pharmaniaga untuk mengeluarkan produk anti-koagulan ovin halal,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ronnsi di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Zulkarnain dan Ketua Pegawai Eksekutif Ronnsi, Yao Yiming.
Zulkarnain berkata penggunaan ubat anti-koagulan di Malaysia telah mencatatkan peningkatan mendadak sejak 2021 hingga 2022, dan penggunaannya telah diperluas untuk mengelak komplikasi buruk penyakit COVID-19 ketika pandemik.
“Anti-koagulan digunakan secara meluas untuk menghalang trombosis vena dalam, situasi bekuan darah berbahaya yang terbentuk dalam saluran darah dan diberikan sebagai profilaksis (rawatan untuk menghalang penyakit) untuk pembedahan yang dirancang.
“Menurut ramalan pasaran daripada Data IQVIA 2021 bagi anti-koagulan melalui Laporan Pasaran Malaysia, asas bagi data khusus merentasi ekosistem penjagaan kesihatan, ia menunjukkan pasaran tersebut dijangka mencecah lapan juta unit dos menjelang 2026,” katanya sambil memaklumkan nilai pasaran global hampir mencapai US$5 bilion.
Beliau berkata pada masa ini, anti-koagulan yang berada di pasaran adalah tidak halal kerana berasaskan porsin atau diperoleh daripada usus babi.
Beliau menambah, walaupun penggunaan anti-koagulan adalah tinggi di seluruh dunia disebabkan prosedur rutin bagi kebanyakan pembedahan, jumlah dos yang digunakan adalah sama dalam kalangan penduduk di kebanyakan negara maju.
“Bagaimanapun, penggunaan anti-koagulan agak rendah di negara-negara Islam disebabkan sumber porsin dan kurang diterima sebagai terapi pencegahan.
“Justeru, kami turut menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa terutamanya di negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.
Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan menyerahkan dokumen kumpul semak kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusannya tidak lama lagi.
“Kami juga akan mengemukakan permohonan pensijilan halal kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk anti-koagulan ini,” katanya sambil menambah anti-koagulan ovin ini telah diperakui halal di Indonesia dan Hong Kong.
Pembuatan pengisian dan pembotolan anti-koagulan ovin akan dibuat di kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga yang diperakui oleh Kesatuan Eropah, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS). – TVS