BUTTERWORTH, 12 Julai : Mencampurkan minyak masak bersubsidi dengan minyak sembahyang di dalam botol sebelum dijual pada harga lebih tinggi.
Itu modus operandi digunakan oleh sindiket penyelewengan minyak masak semasa serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah rumah di Taman Seri Murni, Sungai Dua di sini hari ini.
Ketika operasi kira-kira pukul 1 petang itu, seorang lelaki berusia 50-an dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Difahamkan lelaki tempatan itu sedang memotong plastik ‘polybag’ mengandungi minyak masak bersubsidi di atas sebuah lori di belakang rumah.
Suspek dipercayai cuba memindahkan minyak masak satu kilogram (kg) ke dalam tong untuk dialihkan bagi kegunaan industri kerana harganya yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama lima hari selepas menerima aduan orang awam berhubung kegiatan itu yang dipercayai dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
“Kita berjaya mengesan, mengekori dan menunggu penghantaran minyak (masak) itu dari kilang, sebelum dipunggah ke rumah terbabit dan pemotongan plastik dibuat untuk dialihkan ke dalam botol.
“Ada minyak masak bersubsidi berkenaan diisi separuh dengan minyak sembahyang yang mana minyak sembahyang ini bukan harga kawalan apabila mengikut pasaran ia dijual pada harga sekitar RM6 hingga RM8 bagi satu kg yang boleh mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Mogan, siasatan mendapati individu berkenaan mempunyai lesen borong kawalan dengan kebenaran untuk mengambil minyak masak daripada pembungkus minyak masak dan dihantar kepada pelanggannya.
“Namun dia menyalahgunakan lesen apabila menggunakannya untuk mendapatkan bekalan seterusnya menyeleweng barang kawalan dengan mengedarkannya untuk kegunaan industri,” ujarnya. -TVS