KUNAK, 12 Julai : Seorang pembonceng wanita warga Indonesia terbunuh manakala suami dan anaknya cedera dalam kemalangan di kilometer (km) 10 Jalan Kunak-Tawau di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Rina Samo, 38, manakala suaminya berusia 39 tahun luka di tangan.
Anak lelaki pasangan itu yang berusia tujuh tahun pula cedera di kepala dan muka.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki tiga beranak itu dengan sebuah kereta Proton X70.
Menurutnya, kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah Tawau menuju ke Pekan Kunak bersama isteri.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan kanan manakala kedua-dua pembonceng telah terseret oleh kereta,”katanya menerusi kenyataan.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang jip tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –TVS