OVIEDO (Sepanyol), 12 Julai : Kejadian kebakaran hutan memaksa kira-kira 300 penduduk dari lima bandar di wilayah Extremadura, Sepanyol dipindahkan ke tempat selamat, ketika anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran, lapor Agensi Anadolu.
Pihak berkuasa tempatan turut meminta bantuan tentera Sepanyol memadamkan kebakaran hutan yang merebak pantas di daerah pergunungan di Las Hurdes.
Imej yang diperoleh dari lokasi kejadian memaparkan api dilihat hanya beberapa meter dari kediaman.
Kira-kira 170 anggota bomba bertungkus lumus mengawal keadaan, dan kebakaran hutan tercetus akibat disambar petir ketika cuaca panas dan kering, menurut Datuk Bandar Nuñomoral.
Extremadura antara kawasan yang disenaraikan berisiko “tinggi” mengalami kebakaran hutan.
Semenanjung Iberia dilanda gelombang panas pertama pada Jun, dikatakan paling awal dalam sejarah, dan kebakaran hutan turut berlaku di beberapa kawasan.
Kebakaran di Castile dan Leon direkodkan sebagai kebakaran hutan terbesar di rantau ini yang memusnahkan 25,216 hektar ladang dan hutan. –TVS