PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan mesyuarat khas bersama Jemaan Menteri di Perdana Putra, susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiƔyatuddin Al-Mustafa Billah semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.
Muhyiddin tiba di Perdana Putra pada kira-kira 9.20 pagi bagi memulakan tugas hariannya, sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan pada pukul 11.30 pagi.
Sebelum mesyuarat bersama menteri-menteri Kabinet itu, Muhyiddin dipercayai turut mengadakan pertemuan bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.
Kenderaan yang membawa Abdul Hadi dan Vigneswaran dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra, kira-kira 10 minit selepas Muhyiddin tiba, dan mereka dilihat meninggalkan bangunan Perdana Putra pada kira-kira 11.30 pagi.
Usaha pihak media mendapatkan reaksi dua pemimpin tersebut berhubung kehadiran mereka di Perdana Putra bagaimanapun tidak berjaya kerana kedua-duanya tidak memberhentikan kenderaan mereka.
Kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dilihat memasuki Perdana Putra menghadiri mesyuarat khas itu antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Turut kelihatan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini dan menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati, memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak COVID19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.
Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam berkata jemaah menteri mengambil maklum titah Seri Paduka itu dan Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah itu.
Perdana Menteri turut menjunjung kasih atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinannya serta menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.
Muhyiddin juga menyatakan keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan sekarang adalah untuk melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.
Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas hampir tiga jam di Istana Negara semalam bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Jumaat lepas.
Semalam, turut dilaporkan Perdana Menteri dijadualkan mengadakan mesyuarat bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri hari ini, bagaimanapun ia kemudiannya dibatalkan.
— BERNAMA