BINTANGOR, 4 Julai : Golongan muda yang layak mengundi terutamanya pengundi berusia 18 tahun disaran supaya membuat semakan di kawasan masing-masing bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, golongan berkenaan juga perlu sedar peranan besar mereka sebagai penentu pucuk pimpinan negara.
Ujar beliau, pada masa yang sama, kesedaran perlu diberikan kepada generasi muda bagi menyedarkan mereka terhadap kepentingan mengundi.
“Sebagai individu yang layak mengundi, mereka perlu memanfaatkan hak itu dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ngiling Bidai, di Selidap di sini semalam.
Abdullah berkata, mengundi bukanlah perkara mudah kerana ia bakal membawa kesan besar kepada pembangunan negeri dan negara.
“Mereka harus faham kerana selepas pilihan raya, jika kerajaan itu bukan kerajaan yang baik, tidak dapat perform, maka akan terbentuk sebuah kerajaan yang tidak stabil,”katanya.
Katanya, anak muda juga tidak seharusnya mengikut emosi apabila mengundi.
“Jangan hanya melihat bukan hanya kepentingan sendiri juga sebaliknya kesan kepada generasi akan datang,” ujarnya.-TVS