SIBU, 3 Julai : Polis menahan dua individu lelaki selepas mereka membuat ‘pertunjukan sarkas’ ketika menunggang motosikal secara merbahaya di atas jalan raya menerusi ‘Op Samseng Jalanan pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, operasi yang bermula pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam itu diketuai oleh seorang pegawai dengan lima anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sibu di Sibujaya.
Katanya, lelaki tempatan yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun itu akan disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kata nya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Jelasnya, Seksyen itu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebih lima tahun dan didenda tidak kurang dari lima ribu ringgit dan tidak melebihi 15 ribu ringgit.
Dalam operasi sama, polis trafik juga menahan enam buah motosikal atas pelbagai kesalahan dan sejumlah 39 saman telah dikeluarkan dalam operasi tersebut.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk kesalahan lesen memandu, kesalahan ubahsuai ekzos, ubahsuai struktur, kesalahan nombor pendaftaran, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan kesalahan cermin sisi.
Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalanraya dan para ibubapa diingatkan supaya memantau dan peka dengan kegiatan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Tambah beliau kerjasama orang ramai sangat dialu-alukan dan sebarang maklumat berkaitan samseng jalanan boleh disalurkan kepada pihak BSPT IPD Sibu bagi sama-sama mengekang kegiatan tersebut.-TVS