MUKAH, 3 Julai : Bersempena sambutan ulang tahun ke-117 Gereja Katolik St. Peter dan Paul tahun ini, seramai 117 orang penduduk sekitar menyertai program berbasikal secara santai semalam.
Angka berkenaan dipilih sebagai simbolik ulang tahun gereja berkenaan menerusi acara yang bermula pada pukul 6.40 pagi.
Pengerusi penganjur, Nolin Gendang berkata, program yang berlangsung secara fun ride itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Reveran Paderi, Joseph Sebastian.
“Program ini turut bermatlamat untuk memupuk gaya hidup sihat dalam masyarakat kita melalui aktiviti berbasikal di samping meraikan ulang tahun penubuhan gereja ini sejak 1905 lagi.
“Program berbasikal ini merupakan salah satu daripada tiga aktiviti utama untuk sambutan pada tahun ini,”katanya kepada pemberita selepas program itu.
Nolin berkata, pada pagi ini pula berlangsung majlis kesyukuran diikuti majlis makan malam.
Acara kayuhan semalam dimulakan oleh dua kumpulan peserta iaitu masing – masing bagi jarak lima kilometer (km) dan 15 km yang dilepaskan oleh Joseph.
Kira – kira 30 minit kemudian, peserta yang mula tiba di pagar utama gereja disambut dengan kalungan pingat sebagai tanda mereka berjaya menghabiskan kayuhan.
Sementara itu, Jepanih Terry , 69, merupakan peserta yang paling veteran manakala Bradlee Ben, 9 , pula peserta paling muda yang menyertai acara berkenaan. -TVS