LAWAS, 3 Julai: Lebih banyak estet perindustrian akan dibina di seluruh Sarawak dalam usaha memperkasakan pertumbuhan industri perusahaan kecil dan sederhana di seluruh Sarawak.
Pendekatan menyeluruh ini memudahkan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan untuk memperkasakan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menjelaskan estet industri ini akan dibangunkan setidak-tidaknya di setiap bahagian.
Malahan ia kelak akan dikembangkan kepada peringkat daerah-daerah.
“Ini untuk memberi kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana kita.
“Kita tahu mereka ini memerlukan bantuan dan inilah yang akan kita usahakan.
Kita juga akan terus memberi bantuan dari segi kewangan samada berbentuk pinjaman mudah ataupun melalui geran. Bukan sahaja kerajaan negeri tetapi pihak SME Corp juga akan terlibat dalam membantu usahawan kecil dan sederhana ini,” tambahnya ketika merasmikan Minggu PMKS peringkat negeri Sarawak di Taman Awam Lawas.
Justeru beliau yakin masalah modal tidak akan menjadi isu kerana banyak pihak sedia menghulurkan berbagai bantuan diperingkat negeri Sarawak mahupun Persekutuan.
Pada masa yang sama, pembinaan beberapa Anjung Usahawan juga akan diteruskan ke seluruh Sarawak untuk memperkasakan sektor IKS ini. –TVS