Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bot membawa 10 pemancing dan tiga kru yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak Rabu lepas di sekitar Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri ini, didapati tidak mempunyai permit daripada Jabatan Laut Malaysia untuk melaksanakan aktiviti rekreasi. --foto Bernama

Bot bawa 10 pemancing tidak miliki permit – APMM

KUALA TERENGGANU, 2 Julai : Bot membawa 10 pemancing dan tiga kru yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak Rabu lepas di sekitar Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri ini, didapati tidak mempunyai permit daripada Jabatan Laut Malaysia untuk melaksanakan aktiviti rekreasi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata bot pendaftaran KNF 7040 yang merupakan bot nelayan Kelas A itu, juga didapati telah melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana membawa penumpang dan kru yang tidak didaftarkan.

“Bot nelayan Kelas A hanya dibolehkan beroperasi di zon yang ditetapkan dan masih mempunyai liputan komunikasi, namun bot tersebut telah melanggar kawasan sehingga berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia yang tidak mempunyai liputan komunikasi,” katanya dalam sidang media selepas semua pemancing dan tiga kru tersebut berjaya diselamatkan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan ketiga-tiga kru bot itu berumur 39 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985.

Katanya pada tahun 2020 bot yang sama didapati melakukan kesalahan sama namun pihak APMM pada ketika itu hanya memberikan amaran lisan berikutan 12 penumpang dan kru yang ditemui di perairan Kemaman berada dalam keadaan lemah.

“Jadi kali ini kesalahan yang berulang dan APMM tidak akan berkompromi lagi,” katanya sambil mengingatkan agar semua bot, termasuk bot nelayan dan bot pemancing, untuk memasang peralatan satelit komunikasi dan kecemasan bagi membolehkan pihak penyelamat mengenal pasti kedudukan bot sekiranya berlaku situasi tidak diingini.

Sebelum ini bot yang membawa 13 pemancing dan kru itu keluar dari Jeti Pengkalan Kubu di Kuala Besut pada 10 pagi Sabtu lepas (25 Jun) dan sepatutnya pulang pada Rabu (29 Jun), namun ia hanya dijumpai tengah hari semalam di sekitar pelantar minyak Cendor, kira-kira 80 batu nautika dari Kuala Terengganu ekoran mengalami kerosakan enjin.

Proses membawa pulang kesemua pemancing dan kru bot berusia 32 hingga 52 tahun itu yang menggunakan Kapal Maritim Redang bermula 8 malam semalam dan kesemua mereka selamat tiba di Jeti Maritim Negeri Terengganu di sini sekitar 9 pagi tadi.

Sementara itu ketua kumpulan pemancing tersebut Zairi Nuruddin, 50, berkata pengalaman berada di tengah lautan selama tujuh hari dalam keadaan getir itu adalah yang terburuk dialaminya selama 20 tahun berpengalaman memancing.

“Ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Saya sampai berputus harap dan saya rasa nyawa saya akan berakhir di laut.

“Saya juga secara sembunyi-sembunyi menunaikan solat hajat berkali-kali kerana tidak mahu tunjuk kesedihan di hadapan kawan-kawan. Saya tidak mahu semangat mereka lemah melihat saya sedih.

“Sehinggalah pagi semalam iaitu hari Jumaat saya melaungkan azan dan dalam setengah jam selepas itu sebuah bot nelayan datang memberikan bantuan dan menunda bot kami ke pelantar minyak terdekat,” katanya.

Beliau juga menasihati pemancing lain supaya lebih berhati-hati dan memastikan bot yang dinaiki dilengkapi dengan peralatan komunikasi dan kecemasan sebelum berlayar di lautan. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan