Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Produk keluaran Sofia Taha Holdings kini semakin mendapat tempat di pasaran luar negara.

Produk ‘Made in Sarawak’ masuk pasaran Perancis dan Jepun

BySalasiah Safian

KUCHING, 2 Julai : Bermula secara kecil – kecilan, usahawan tempatan, Dayang Sophia Abang Taha yang menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan kini mampu tersenyum apabila perniagaannya semakin meluaskan sayap.

Tidak lagi ‘terperangkap’ dalam pasaran tempatan, wanita ini mengorak langkah apabila produknya turut mendapat permintaan di Perancis dan Jepun.

Bermula pada 2014, Dayang Sophia berkata, ketika itu syarikatnya merupakan pengilang yang mengeluarkan produk berasaskan madu kelulut.

“Seterusnya saya mengambil cabaran dengan menghasilkan pula produk kecantikan dan kesihatan yang kini boleh dikatakan sebagai perniagaan utama syarikat,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.

Terdahulu, Dayang Sophia menerima delegasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanannya, Dato Zulfikri Osman yang melawat kilangnya.

Mengakui perjalanan ke arah itu tidak mudah apabila terpaksa menempuh pelbagai cabaran, Dayang Sophia berterima kasih kepada agensi kerajaan termasuk MARA yang banyak menghulurkan bantuan dalam usahanya memasuki pasaran global.

Katanya, MARA merupakan agensi yang memainkan peranan besar untuk menjadikan Syarikat Sofia Taha Holdings Sdn. Bhd. ini terus berkembang.

“MARA bagi geran namun sekiranya tidak ada ilmu dalam perniagaan, susah juga walaupun kita ada modal.

“Di sinilah agensi ini sekali lagi memainkan peranan penting dengan mengajar saya ilmu tentang penjenamaan, pemasaran termasuk secara dalam talian,” katanya.

Katanya sebelum didedahkan tentang ilmu berkenaan, pengetahuannya dalam aspek itu termasuk pembungkusan produk dan label juga tidak begitu baik.

Ditanya bagaimana produknya mampu menembusi Perancis dan Jepun yang diketahui mengenakan syarat yang ketat untuk produk luar masuk ke pasaran mereka, Dayang Sophia berkata, dia sentiasa memastikan produk keluaran kilangnya mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan dan piawaian antarabangsa.

“Produk yang dikeluarkan mendapat pengiktirafan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) , Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Pada pertemuan itu, Dayang Sophia turut berkongsi satu inisiatif ‘penting’ yang dilaksanakan oleh MARA bagi membantunya ‘mengetuk’ pasaran antarabangsa.

“Pada 2017, saya menyertai program ‘Gate to Global’ MARA dan menerusi latihan daripada mereka, saya berjaya eksport produk syarikat,”katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Dayang Sophia memberitahu, berikutan permintaan yang semakin melonjak, syarikatnya akan membuka beberapa kilang baharu dalam masa terdekat.

“Ketika ini kilang sedia ada di Kuching hanya mempunyai 20 orang pekerja. InsyaAllah kita akan tingkatkan lagi dengan adanya dua kilang iaitu satu untuk kosmetik dan satu lagi untuk pengeluaran makanan dan minuman,”katanya.

Tidak terhenti setakat itu, wanita ini turut merancang untuk membuka sebuah lagi kilang yang dikhaskan untuk mengeluarkan produk farmaseutikal.

“Saya berharap dapat melaksanakan secepat mungkin dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan