KOTA KINABALU, 1 Julai : Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Bangunan UMNO Karamunsing malam ini tanpa diduga bertukar panas setelah Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘memberi amaran’ kepada ahli parti itu supaya tidak ‘menyerangnya’.
Kenyataan Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri itu kemudian ‘dibalas’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berucap selepas itu.
Ahmad Zahid berkata, menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan ahli BN supaya mewujudkan perpaduan dan fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Rakyat amat rindukan BN, rakyat sayang dengan parti kita, rakyat mahu melihat semula BN menjadi puncak kepimpinan di Putrajaya, jangan hampakan mereka.
“Kita yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri. BN akan terus mendokong hasrat beliau menyelesaikan isu semasa rakyat di negara ini,”katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid berkata, dakwaan bahawa BN sudah berada di hujung tanduk selepas kalah PRU-14 merupakan kesilapan besar malahan parti itu bangkit semula termasuk di Sabah.
“Jika benar telahan BN berada di penghujung pada 2018 lalu, maka mereka silap menganalisis kerana sekarang ini terdapat empat permohonan parti lain mahu menyertai BN,”katanya.
Kata beliau, sekiranya UMNO dan BN berada di hujung hayat, tidak mungkin parti – parti itu memohon menyertai mereka.
“Kebangkitan BN di Sabah, Johor dan Melaka dalam Pilihan Raya Negeri memberi gambaran jelas parti itu akan bangkit semula dalam PRU15,”katanya. -TVS