TATAU, 1 Julai : Dua pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas ke lorong bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Tatau-Bintulu di sini, petang semalam.
Mangsa, Wedisly Duhanis,31,bersama pemboncen, Leorardo Yusop, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dalam kemalangan pukul 5.45 petang itu.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, nahas berlaku semasa dua rakan sekerja itu sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave menuju ke Pasar Tatau.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan selepas gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan.
“Mereka terseret ke lorong bertentangan lalu dilanggar sebuah Toyota Hilux,”katanya kepada TVS hari ini.
Jame berkata, pemandu pacuan empat roda berusia 68 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Sabah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat,”katanya.
Beliau memberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS