KUCHING, 29 Jun : Kompleks ‘pasar lama’ Kabong di Kampung Hilir yang menempatkan 10 lot kedai musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 2.53 pagi tadi.
“Kawasan kebakaran itu terletak kira – kira 50 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok.
“Usaha memadam kebakaran pada mulanya berdepan masalah tekanan air.
“Sekitar pukul 3.53 pagi, Bomba terpaksa berusaha mencari sumber air terbuka untuk memadamkan kebakaran,” jelas PGO menerusi kenyataan media.
Jelas PGO, operasi yang disertai oleh lapan orang anggota bomba itu terkawal pada pukul 4.24 pagi.
“Kebakaran melibatkan hampir 90 peratus terbakar namun tiada kemalangan jiwa,” jelas PGO. – TVS