KUALA LUMPUR, 28 Jun : Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang kekal tinggi pada Mei dengan pertumbuhan 11.2 peratus tahun ke tahun berbanding 11.0 peratus tahun ke tahun pada April 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 20.6 peratus berbanding 18.4 peratus direkodkan pada April 2022.
Beliau berkata indeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan 16.7 peratus tahun ke tahun, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2 peratus), perikanan (11.3 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8 peratus).
“Indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua digit 10.1 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2011 dengan 10.1 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (24.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus).
Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2 peratus manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.6 peratus, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan bulan ke bulan, Mohd Uzir Mahidin menjelaskan IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.2 peratus berbanding 0.2 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya
Beliau menambah kenaikan ini disumbangkan oleh indeks perlombongan yang mencatatkan 4.0 peratus, didorong oleh kenaikan pada indeks minyak mentah (4.3 peratus) dan gas asli (3.1 peratus).
Pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 1.0 peratus disokong oleh kenaikan dalam indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (2.6 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (1.3 peratus) dan pembuatan peralatan elektronik pengguna (1.1 peratus).
“Peningkatan dua digit dalam IHPR di Malaysia adalah selari dengan kenaikan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan terutama bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Rusia dan Ukraine,” katanya.
Mohd Uzir menambah inflasi di peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat 15.7 peratus pada Mei 2022 daripada 14.7 peratus dicatatkan pada April 2022, didorong oleh harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22.0 peratus tahun ke tahun.
Pada masa yang sama, peningkatan harga gasolin dan produk-produk tenaga menyumbang kepada kenaikan 10.8 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar di Amerika Syarikat pada Mei 2022.
Situasi yang sama berlaku kepada negara-negara Asia Selatan seperti Thailand, yang mana inflasi di peringkat pengeluar mencatatkan kenaikan 13.3 peratus pada Mei 2022 (April 2022: 12.8 peratus), disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor pembuatan dan perlombongan, jelasnya. – TVS