Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

FINAS pacu industri kreatif negara

ByYazid Ibrahim

KUCHING, 29 Jun : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang genap 41 tahun ditubuhkan telah memainkan peranan besar dalam memacu perkembangan industri kandungan kreatif negara.

Agensi yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sejak 15 Mei 2013 berfungsi sebagai badan yang mengawal selia aktiviti perfileman dalam usaha untuk memelihara dan memajukan industri berkenaan berdasarkan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) dan perundangan kecil di bawahnya.

Terbang menyeberangi Laut China Selatan ke Bumi Kenyalang, FINAS juga memainkan peranan dalam mengembangkan industri kreatif di negeri terbesar di Malaysia ini.

Berhubung penekanan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak untuk melonjak ekonomi digital dan industri kreatifnya, FINAS turut membantu dalam mencapai hasrat berkenaan.

Baru – baru ini delegasi FINAS yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim melawat Sarawak untuk memahami landskap industri berkenaan di negeri ini dan seterusnya berkongsi buah fikiran untuk sama – sama memacu bidang ini ke tahap yang lebih tinggi.

Md Nasir berkata, FINAS telah menyalurkan peruntukan kepada penggiat industri kreatif di Sarawak dalam usaha membangunkan sektor tersebut yang mana sangat berpotensi untuk berkembang dengan maju.

Menerusi peruntukan itu, sebanyak RM4.914 juta peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) telah dianugerahkan kepada 45 projek dari Sarawak meliputi filem cereka, dokumentari dan filem pendek sejak tahun 2018. Selain itu, peruntukan turut diberikan persatuan serta syarikat perfileman dapat melaksanakan program pembangunan modal insan seperti kursus atau bengkel perfileman untuk memantapkan bakat anak seni Sarawak.

“Ini kerana penggiat industri Sarawak mempunyai semangat dan kesungguhan yang diperlukan untuk pergi lebih jauh. Bakat muda yang ramai serta penggiat industri seni yang sangat kreatif boleh digilap hingga ke peringkat antarabangsa.

“Ekosistem industri perfileman di Sarawak perlu dibangunkan secara holistik iaitu dari aspek dasar, pembangunan modal insan, infrastruktur, penguatkuasaan dan banyak lagi. Ini adalah jaminan agar industri perfileman mampu melonjak ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing, standing dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, FINAS juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perfileman kegemaran syarikat-syarikat produksi luar melalui pemerkasaaan Insentif Penggambaran Di Malaysia (FIMI) dan Sarawak merupakan destinasi menarik untuk penerbit filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka kerana kekayaan budaya dan kecantikan alam sekitarnya.

Ujarnya, kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama G2G dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Menerusi langkah mempromosi tempat-tempat menarik di negara kita, ianya pasti akan dapat menggalakkan penerbit luar datang untuk membuat penggambaran di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG) Suhaimi Sulaiman berkata, FINAS sejak dahulu lagi telah memainkan peranan penting dalam industri kreatif di Malaysia dan tidak terkecuali pemain industri di Sarawak juga memerlukan bimbingan agensi berkenaan.

Katanya, FINAS telah banyak membantu dalam memberikan cadangan dan pandangan kepada industri bagi menghasilkan karya-karya yang kreatif selain memberi tunjuk ajar dan panduan kepada penggiat seni tempatan.

“Contohnya apabila dianjurkan sesi ‘pitching’ , salah seorang ahli panel adalah dari FINAS.

“Pandangan yang diberikan secara tidak langsung membantu dalam melahirkan karya-karya yang lebih baik” katanya.

Melalui pelbagai inisiatif, mereka telah memberikan peluang kepada anak-anak tempatan untuk berkarya dan menghasilkan kandungan atau rancangan yang kreatif seperti dokumentari, telemovie, dan rancangan hiburan.

Sementara ini, ketika ditanya mengenai peranan TVS dalam memacu sektor kreatif menerusi kerjasama dengan FINAS, Suhaimi berkata, ia boleh dijadikan sebagai platform untuk anak-anak Sarawak berkarya dengan lebih mudah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan