SELANGOR, 26 Jun: Masyarakat Iban di Semenanjung Malaysia diminta supaya terus memelihara kesenian, adat dan budaya yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Budaya dan sifat sopan santun serta semangat saling membantu juga perlu terus disuburkan kata Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.
“Berikutan populasi rakyat Sarawak yang semakin ramai di Semenanjung terutama di Johor dan Selangor, semangat dalam mengekalkan nilai-nilai murni turun temurun yang diamalkan di Sarawak terus diperkukuh di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Anak Borneo Semenanjung di Seri Kembangan malam tadi.
Tambah Aaron Aro lagi, semangat perpaduan antara kaum bukan sahaja perlu diperkukuhkan malah harus disemai dalam kalangan generasi muda yang akan menjadi pewaris pada masa hadapan.
Majlis yang kali pertama diadakan itu dihadiri lebih 1,500 tetamu.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak), Dato Hanifah Hajar Tun Taib dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dua, Datuk Hasbi Habibollah. -TVS