PUTRAJAYA, 24 Jun : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin sasaran kehadiran 900,000 pelancong Muslim dari luar negara tahun ini dapat dicapai menerusi aktiviti mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim secara agresif serta proaktif di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, selepas sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas, MOTAC mengadakan beberapa siri lawatan kerja bagi mempromosikan produk pelancongan Malaysia, termasuk pelancongan Islam ke luar negara.
“Selain itu, MOTAC akan mengenal pasti aktiviti tambahan yang boleh diadakan di 6,000 masjid di seluruh negara sebagai nilai tambah aktiviti promosi sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Pelancongan Islam 2022 anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) di sini hari ini.
Setakat April, dilaporkan 460,000 pelancong Muslim telah mengunjungi negara ini.
Nancy berkata oleh kerana umat Islam merupakan majoriti penduduk negara, ketersediaan fasiliti mesra Muslim di sini menjadi antara faktor penyumbang pelancong Muslim memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata keyakinan pelancong Muslim terhadap Malaysia juga dilihat dapat dikekalkan apabila negara sekali lagi mengungguli kedudukan teratas dalam senarai destinasi pelancongan mesra Muslim berdasarkan MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2021 baru-baru ini.
“Ini membuktikan Malaysia berada pada landasan tepat dan ekosistem bersesuaian yang dapat memenuhi keperluan pelancong Muslim,” katanya. -TVS