KOTA KINABALU, 24 Jun : Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes kematian seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak – Kanak Likas (HWKKS) pada 19 Jun lepas.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya akan memantau perkembangan siasatan kes berkenaan.
Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah mengenai sesi konsultasi bersama keluarga mangsa juga sedang dijalankan.
“Oleh itu, kita tunggu hasil siasatan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM),”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek perintis bas elektrik pertama Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Shahelmey meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan maklumat yang tidak tepat berhubung insiden itu menerusi media sosial.
“Saya lihat di Facebook, netizen sangat beremosi, ada yang mengeluarkan bahasa kesat terhadap petugas kesihatan seperti jururawat dan doktor. Ini tidak sepatutnya berlaku,”katanya.
Sebelum ini tular satu hantaran di Facebook Vivian Viv yang mendakwa adiknya kehilangan bayi semasa bersalin di HWKKS ekoran kecuaian pihak hospital yang hanya memberikan ubat dan menyuruh menahan kontraksi selama 14 jam. -TVS