KUCHING, 24 Jun : Media Indonesia melaporkan anak lelaki pendakwah terkenal Indonesia yang berusia tiga tahun maut apabila ditembak secara tidak sengaja oleh abangnya yang berumur lima tahun.
Polis menyifatkan tragedi yang berlaku di Jawa Timur pada Rabu lepas sebagai satu kemalangan.
Ketika kejadian, pendakwah berkenaan, Arrazy Hasyim bersama dua anaknya itu berada di Tuban, Jawa Timur untuk menziarah keluarga mertuanya.
Ketika kejadian pada pukul 1 petang, pengawal peribadi mereka yang merupakan anggota polis dilaporkan sedang menunaikan solat di masjid apabila kanak-kanak berusia lima tahun itu ‘mengambil dan bermain pistol ‘ itu dengan adiknya.
Difahamkan adiknya maut setelah terkena tembakan di bahagian dagu.
Anggota polis itu mendakwa dia telah menyimpan senjata api itu di dalam beg dan meletakkannya di tempat yang selamat sebelum menunaikan solat.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tuban, M Ganantha berkata, pistol tersebut sudah ‘dikunci’ dan polis akan menyiasat bagaimana senjata itu ‘berfungsi’ ketika kejadian.
“Proses undang-undang tidak akan diteruskan oleh Polis Tuban kerana ibu bapa mangsa telah memberi kenyataan bahawa mereka tidak akan membuat pendakwaan dan menerima kejadian itu sebagai takdir dan menganggapnya sebagai musibah,” katanya semalam.
Bagaimanapun, anggota polis terbabit bakal berhadapan dengan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kejadian itu. – TVS