KUCHING, 24 Jun : Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi berdepan pelbagai cabaran susulan gangguan rantaian bekalan global yang mula menunjukkan kesan ketika ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kestabilan politik yang dinikmati oleh sesebuah negara akan menarik minat pelabur dan seterusnya menyaksikan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan.
“Kesimpulannya kita mesti ada politik yang stabil.
“Ini kerana jika tak ada (kestabilan politik), keyakinan pelabur (untuk datang) terjejas,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu Masjid Darul Naim, Kampung Lintang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sekiranya negara mahu ekonominya terus berkembang, antara yang perlu dilakukan termasuklah meningkat eksport.
“Ini bagi mewujudkan permintaan dan tukaran ringgit,”katanya. -TVS