Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tiga syarikat telekomunikasi telah dikenakan Arahan Suruhanjaya kerana didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar. Foto MCMC.

Tiga telco dikenakan Arahan Suruhanjaya, gagal tambah baik perkhidmatan

ByBernama

PUTRAJAYA, 24 Jun : Tiga syarikat telekomunikasi telah dikenakan Arahan Suruhanjaya kerana didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan di Langkawi termasuk Lebuhraya Langkawi dan kawasan pelancongan.

Syarikat telekomunikasi itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022, menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

“Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” menurut MCMC.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 14 Jun lepas telah mengarahkan MCMC untuk membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian Internet di seluruh Malaysia.

Annuar dilaporkan berkata MCMC perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

Susulan itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah MSQoS di 3,038 lokasi di seluruh negara, dengan kesemua lokasi itu dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima.

Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lepas, jelas MCMC.

MCMC memberitahu aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

“Bermula pada tahun lepas, MCMC telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri dan satu daripada penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.

“MCMC turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi,” menurut MCMC. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan