KUALA LUMPUR, 24 Jun : Petronas North Ketapang Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok Ketapang Utara yang terletak di dalam pesisir dan luar pesisir Jawa Timur, Indonesia.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Petronas menjelaskan syarikat itu memperoleh Blok Ketapang Utara semasa pusingan kedua Pusingan Bidaan Petroleum Indonesia 2021 dan memegang 100 peratus ekuiti dalam blok dengan keluasan 3,131.8 kilometer persegi dengan kedalaman air sehingga 100 meter di bawah paras laut itu.
PSC itu ditandatangani di pejabat Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia dengan Petronas diwakili Pengarah Presiden PC Ketapang II Ltd, Yuzaini Md Yusof manakala SKK Migas pula oleh Ketuanya, Dwi Soetjipto, tambahnya.
Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata pemeteraian bagi Blok Ketapang Utara itu meningkatkan lagi portfolio huluan sedia ada Petronas di Indonesia dan memberikan peluang untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di negara itu.
“Petronas amat berbesar hati dianugerahkan PSC ini dan kami akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami serta SKK Migas untuk memanfaatkan potensi hidrokarbon yang terdapat dalam blok itu,” katanya.
Petronas merupakan pengendali bagi PSC Ketapang dan PSC Madura Utara II, yang terletak di luar pesisir Jawa Timur dan merupakan rakan usaha sama dalam enam PSC lain yang berada di dalam dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta Indonesia Timur. -TVS