KUCHING, 23 Jun : Kerajaan Sarawak menyeru pelbagai pihak supaya lebih aktif mendokumentasikan keunikan budaya dan kepelbagaian etnik dimiliki negeri ini dan seterusnya mempromosikan kepada masyarakat antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, berdasarkan semakan, pihaknya mendapati kurangnya penulisan dan dokumentasi terutama mengenai perkara itu.
Katanya, kekurangan berkenaan merupakan kerugian besar kerana ia sebenarnya merupakan platform terbaik untuk melonjakkan nama Sarawak di persada dunia.
“Keunikan nilai dan budaya melibatkan pelbagai etnik di Sarawak harus didokumentasikan dan disebarkan ke seluruh dunia.
“Ini kerana Sarawak merupakan sebuah negeri yang sangat unik serta kaya dengan pelbagai nilai budaya, bahasa dan adat resam yang saya kira masih banyak lagi yang belum dikaji dan diterokai dengan lebih mendalam,”katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Wacana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sempena ulang tahun ke 45 penubuhannya di sini hari ini.
Ujar beliau,  menerusi keunikan yang dimiliki Sarawak, ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia merupakan  peluang untuk mengangkat warisan budaya Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai individu mahupun organisasi untuk tampil ke hadapan untuk berbuat demikian. -TVS