SIBU, 23 Jun : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sarawak menerima 213 panggilan kecemasan kebakaran bagi tempoh Januari hingga 21 Jun tahun ini.
Jumlah tersebut menyaksikan penurunan sebanyak 58 kes atau 12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua JBPM Zon 4 Sarawak, Penguasa Kanan Bomba I Janggan Muling berkata, pada tahun lepas 12 balai bomba dan penyelamat (BBP) zon berkenaan menerima sebanyak 271 panggilan.
Katanya, penurunan itu adalah disebabkan kurangnya panggilan melibatkan kebakaran belukar atau rumput akibat cuaca yang tidak menentu walaupun pada musim Monsun Barat Daya.
“Daripada 213 panggilan itu, BBP Sibu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 69 panggilan manakala BBP Kanowit hanya melibatkan satu kes kecemasan,” katanya.
Berdasarkan statistik panggilan kebakaran yang melibatkan kebakaran struktur pula, beliau memberitahu, BBP Sungai Merah merekodkan panggilan tertinggi iaitu 10 kes.
“Siasatan mendapati kebakaran struktur melibatkan rumah kediaman di zon ini melibatkan kebakaran dapur manakala puncanya disebabkan litar pintas dan kecuaian,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai lebih berwaspada atau lebih proaktif mengamalkan sifat mencegah daripada menanggung kerugian disebabkan kebakaran.
Katanya lagi, kebakaran struktur telah mengakibatkan sebanyak tiga kematian dan dua kecederaan sepanjang tempoh berkenaan tahun ini.-TVS