KUCHING, 22 Jun : Pameran kerjaya, Talent Recruitment And Career Exhibition (TRACE) 2022 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan usaha yang diambil universiti berkenaan untuk ‘menjodohkan’ majikan dengan graduan universiti berkenaan yang sedang mencari peluang pekerjaan.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, TRACE penting bagi pihaknya untuk membantu pelajar UNIMAS menentukan haluan kerjaya mereka setelah tamat pengajian.
Katanya, TRACE juga memberi peluang kepada pelajar untuk berjumpa secara langsung dengan wakil syarikat yang ingin mereka sertai seterusnya meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar UNIMAS.
“Salah satu objektif TRACE adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dapat dicapai melalui TRACE.
“Tahap kebolehpasaran siswazah UNIMAS sebenarnya lebih tinggi berbanding peratus di peringkat kebangsaan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas Majlis Pelancaran TRACE 2022 yang Dewan Zamrud Detar UNIMAS di sini hari ini.
Selain itu Suaidi turut memaklumkan, TRACE dapat mengurangkan kadar pengangguran, terutama sekali dalam kalangan graduan baharu.
Tambahnya, pameran seumpama ini penting bagi menyesuaikan kemahiran dan kelulusan pencari pekerjaan.
UNIMAS TRACE 2022 melibatkan sebanyak 64 syarikat dari seluruh negara dan pelbagai sektor pekerjaan seperti sektor pendidikan, pembuatan, telekomunikasi dan sebagainya.
Ia merupakan acara tahunan terbesar seumpamanya di Borneo.
Pameran tersebut berlangsung selama dua hari sehingga esok. -TVS