KUALA LUMPUR, 22 Jun : Satelit MEASAT-3d baharu dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia malah negara lain termasuk Indonesia dan India.
Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Tharek Abd Rahman berkata dengan kapasiti yang telah dipertingkat menerusi satelit baharu itu, ketersambungan kualiti jalur lebar yang lebih baik dapat dikecapi negara-negara terlibat.
“Jejak satelit MEASAT-3d bakal meliputi 42 peratus liputan penduduk dunia (bumi) dan memandangkan semua negara mempunyai transponder berbeza dalam satelit yang sama, transponder khusus satelit itu boleh dipancarkan ke negara masing-masing dan kita juga dapat menerima isyarat.
“Kita akan memperoleh kualiti yang lebih baik dari segi ketersambungan juga perkhidmatan jalur lebar, bukan hanya membabitkan penyiaran dan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditanya mengenai pelancaran satelit MEASAT-3d, yang dijadual dilancarkan dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah di Guiana Perancis, Amerika Selatan pada 6.03 petang 22 Jun (5.03 pagi, 23 Jun waktu Malaysia).
Dikenali sebagai satelit paling komprehensif dan kompleks dalam armada MEASAT, satelit terbaharu dan paling maju itu dianggarkan menelan belanja RM1.2 bilion.
Tharek berkata memandangkan sambungan internet sangat penting ketika tempoh pandemik yang melanda seluruh dunia, satelit baharu itu akan mempercepatkan matlamat kerajaan Malaysia untuk merapatkan jurang ketersambungan digital untuk semua rakyatnya.
“Satelit baharu itu merupakan satu lagi kejayaan yang melengkapkan MEASAT-3a dan MEASAT-3b, dari segi kapasiti perkhidmatan jalur lebar satelitnya.
“Apabila penggunaan internet meningkat semasa pandemik, fasa itu sendiri menjadi penggalak, apatah lagi apabila kita kini memasuki fasa peralihan ke endemik.
“Kita lebih memerlukan satelit baharu ini berbanding sebelum ini,” kata Tharek yang berpengalaman luas berkaitan komunikasi mudah alih dan satelit.
Dalam perkembangan berkaitan, Tharek berkata sasaran kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus capaian internet dan pendigitalan negara boleh disegerakan dengan pelancaran satelit MEASAT-3d.
Beliau berkata sasaran yang dinyatakan dalam inisiatif MyDIGITAL Blueprint, serta dalam Jalinan Digital Negara (JENDELA) mungkin dapat dicapai dengan peningkatan keupayaan satelit baharu itu.
“Seperti pembentangan dalam JENDELA Fasa 1, sasaran untuk mencapai 100 peratus liputan populasi 4G menjelang akhir tahun ini boleh dicapai dengan pelancaran satelit baharu ini.
“Satelit baharu itu membolehkan capaian internet berkelajuan tinggi hingga ke kawasan luar bandar yang kurang mendapat liputan, dengan kelajuan sehingga 100Mpbs. Satelit baharu itu boleh membantu mendapatkan kualiti itu,” katanya.
Menurut ketua pegawai operasi MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT), Yau Chyong Lim, pelancaran itu akan membantu mewujudkan masyarakat digital yang inklusif, dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi seperti Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), Internet benda (IoT) dan teleperubatan.
Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan daripada kelajuan muat turun semasa sekitar 30 megabit sesaat (Mbps) kepada 100 Mbps, membenarkan pengguna menstrim kandungan data tinggi seperti video 4K atau 8K, tambahnya.
MEASAT telah mengendalikan teknologi satelit selama lebih 25 tahun bermula dengan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2 pada 1996.
Ia diikuti MEASAT-3 pada 2006, MEASAT-3a pada 2009 dan MEASAT-3b pada 2014. – TVS