KOTA KINABALU, 22 Jun : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) memulakan siasatan berhubung isu kematian seorang bayi yang baru dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).
Pengarahnya, Datuk Dr. Rose Nani Mudin dalam berkata, pihaknya mengambil perhatian serius mengenai perkara itu.
“Pihak JKN Sabah mengesahkan insiden itu berlaku pada 19 Jun 2022 dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara terperinci dan telus,”katanya menerusi kenyataan media.
Beliau memberitahu, ibu bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital.
“Pihak JKN Sabah ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bayi ini dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan kami,”katanya.
Terdahulu tular satu hantaran di Facebook Vivian Viv yang mendakwa adiknya kehilangan bayi semasa bersalin di HWKKS ekoran kecuaian pihak hospital yang hanya memberikan ubat dan menyuruh menahan kontraksi selama 14 jam. – TVS