Kuching, 21 Jun : Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani hari ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa pihak polis dan agensi penguatkuasa yang lain tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon.
Pihak polis juga katanya tidak akan menggunakan taktik menakut- nakutkan atau mengugut melalui panggilan telefon untuk mendapatkan maklumat.
Melalui kenyataan yang dipetik dari laman media sosial Polis Diraja Malaysia, beliau berkata pihak polis hanya akan menggunakan panggilan telefon untuk menjemput atau untuk menetapkan temujanji pihak-pihak yang berkepentingan ke pejabat dan balai polis yang telah ditentukan.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak polis tidak akan meminta maklumat peribadi sulit sesiapa melalui panggilan telefon sahaja.
“Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan telefon apalagi untuk menggunakan taktik mengugut untuk mendapatkan maklumat. Kita juga tidak menjalankan siasatan melalui atas talian atau online. Hanya scammers yang akan menggunakan taktik sebegitu” kata nya.
“Saya faham bahawa sesetengah orang akan berasa panik apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku sebagai penjawat awam tetapi apabila berdepan dengan panggilan yang mencurigakan, sila letak telefon dan terus hubungi balai polis berdekatan” ujar beliau.
Beliau menambah walaupun bilangan kes-kes yang melibatkan kes scam dilaporkan menurun, beliau mengingatkan masyarakat untuk terus berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket-sindiket scam.
Pihak polis kata nya akan terus mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk memberi peringatan kepada masyarakat tentang kegiatan scammers dan taktik-taktik terbaru mereka.-TVS