SANDAKAN, 20 Jun : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menggagalkan cubaan menyeludup masuk 48,600 rokok putih bernilai RM33,000 disyaki dari negara jiran di sekitar Pulau Sulok, Beluran awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Pluto Timur di perairan Semawang telah mengesan pergerakan tiga bot mencurigakan.
Katanya, hasil pemantauan mendapati salah sebuah bot sedang menunda sebuah lagi sampan dalam keadaan bergelap sekitar jam 1 pagi semalam.
Menurut beliau, ketiga-tiga bot tersebut tidak memberikan kerjasama ketika diarahkan berhenti sebaliknya memecut laju dalam usaha untuk melarikan diri.
“Pasukan operasi mengejar untuk memintas ketiga-tiga bot suspek yang memecut ke perairan cetek berhampiran daratan. Hampir 20 minit, salah sebuah bot suspek bertindak memotong tali sampan yang ditunda dan ketiga-tiga bot melarikan diri ke kawasan paya bakau cetek.
“Hasil pemeriksaan ke atas sampan yang ditinggalkan menemui 48,600 batang rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran nilai RM33,000 berserta cukai,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – TVS