Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selain membawa pulang kenangan indah yang dirakam sepanjang berada di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 pengunjung boleh mengambil peluang membeli barangan kraf tangan di festival itu sebagai ‘bukti’ kehadirian mereka ke festival ikonik Sarawak itu.

RWMF 2022 beri peluang kenali budaya Sarawak

KUCHING, 18 Jun : Selain membawa pulang kenangan indah yang dirakam sepanjang berada di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 pengunjung boleh mengambil peluang membeli barangan kraf tangan di festival itu sebagai ‘bukti’ kehadirian mereka ke festival ikonik Sarawak itu.

Tinjauan mendapati kiosk barangan kraf tangan dan makanan turut menjadi tumpuan buat pengunjung, khususnya bagi mereka yang menghargai dan ingin mengetahui budaya daripada pelbagai kaum yang terdapat di Bumi Kenyalang.

Pengusaha kraf tangan bermotifkan manik Raben Beads, Danielle Lipang Lawai, 47, berkata menerusi RWMF yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan asing, ia dapat membantu pengusaha tempatan untuk mengetengahkan produk mereka.

“Manik ini sangat sinonim dengan suku kaum saya iaitu Kelabit. Kami memang menjadikan manik sebagai aksesori harian atau menghadiri upacara, jadi dari situ timbul minat saya untuk memodenkan aksesori manik ini dan mula menjualnya tujuh tahun lepas.

“Perniagaan saya semuanya dalam talian jadi acara sebegini memberi laluan kepada kami untuk buka kiosk. Ini tahun kelima saya menyertai RWMF dan saya rasa kehadiran penonton boleh tahan sejak tidak ramai pelancong datang berbanding tahun sebelum ini kerana pandemik COVID-19,” katanya.

Berasal dari Kampung Long Napir, yang terletak di Limbang, kira-kira 1,064 kiliometer (km) dari sini, ibu kepada dua orang anak itu berkata beliau membuat sendiri aksesori anting-anting dan rantai manik.

Lipang berkata semasa RWMF yang lepas, pendapatan beliau pernah mencecah RM5,000 dan festival sedemikian sememangnya membantu peniaga dalam talian sepertinya.

Selain daripada aksesori dan kraf tangan bermotifkan pua kumbu dan bakul anyaman, pengunjung festival ini juga boleh menikmati makanan masyarakat tempatan.

Orang ramai boleh menikmati makanan Bidayuh di reruai Awah Cafe yang terletak di luar Rumah Bidayuh, Kampung Budaya Sarawak yang menjadi tapak festival ini.

Rakan kongsi Awah Cafe, Ojong Simuh, 65, berkata menu seperti terung Dayak, ayam pansuh dan tempoyak goreng menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Saya menjangkakan kurang pengunjung tetapi setakat ini saya berpuas hati dengan jumlah yang datang. Memandangkan gerai saya berada di luar Baruk dan Rumah Bidayuh, orang ramai boleh mendapat pengalaman yang lebih baik tentang budaya Bidayuh.

“Memandangkan festival kali ini dibuat secara hibrid dan fizikal, kami menjangkakan pendapatan keseluruhan RM20,000 berbanding RM30,000 sebelum ini,” katanya.

Bertemakan ‘25th Legendary Rainforest Celebration’, festival yang bermula semalam hingga esok menampilkan penghibur dari pelbagai negara termasuk China, Australia, India, Singapura, Indonesia, Kanada, Estonia, Itali, Jepun, Madagascar, Amerika Syarikat dan Vietnam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan