KUCHING, 18 Jun : Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak meraikan kejayaan pentadbiran negeri dibawah Gabungan Parti Srawak (GPS).
Timbalan Yang Dipertua PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini selepas Sarawak yang kini tidak bergantung lagi dengan persekutuan untuk menentukan keputusan sendiri.
“Kita meraikan kejayaan yang kita nikmati untuk tempoh lima tahun ini.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini Sarawak telah menikmati autonominya berbanding sebelum ini.
“Ini jelas tercermin dalam pelaksanaan agenda dan dasar politik, pentadbiran dan pembangunan kita sendiri yang telah memberi manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Douglas Uggah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini, hari ini.
Douglas Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, strategi Gabungan Parti Sarawak GPS adalah satu langkah yang bijak dan berani.
“GPS dipimpin oleh anak Sarawak Untuk Sarawak menjaga hak Sarawak, Intu Sarawak, Jaga Sarawak, yang telah membolehkan kita memperjuangkan hak Sarawak mengikut acuan Sarawak,” katanya lagi.
Dalam pada itu tambah Douglas Uggah, pada lima tahun yang lepas, Sarawak telah menyaksikan pelaksanaan projek dengan cepat, pesat dan menyeluruh.
Ini termasuk projek projek infrastruktur seperti jalanraya, bekalan elektrik dan air, jambatan (termasuk tiga jambatan yang dibatalkan oleh kerajaan PH seperti Jambatan Batang Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan) dan sebagainya. – TVS