Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Prestasi perdagangan Malaysia pada Mei 2022 kekal kukuh, merekodkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021.

Jumlah perdagangan Malaysia naik kepada RM228.37 bilion pada Mei 2022

KUALA LUMPUR, 17 Jun : Prestasi perdagangan Malaysia pada Mei 2022 kekal kukuh, merekodkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021, jumlah dagangan naik 33.6 peratus kepada RM228.37 bilion berbanding Mei 2021, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia merupakan pertumbuhan dua digit selama 16 bulan berturut-turut.

Walaupun eksport meningkat 30.5 peratus kepada RM120.49 bilion, import pula melonjak 37.3 peratus kepada RM107.88 bilion manakala lebihan dagangan menyusut 8.3 peratus kepada RM12.62 bilion, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tiga kategori utama import antaranya barangan pengantara bernilai RM62.95 bilion atau 58.4 peratus daripada jumlah import, barangan modal, bernilai RM8.84 bilion atau 8.2 peratus daripada jumlah import dan barangan penggunaan bernilai RM8.51 bilion atau 7.9 peratus daripada jumlah import.

Beliau berkata pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit, katanya dalam satu kenyataan.

Azmin juga menekankan bahawa jumlah perdagangan telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2022, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini. Pada Januari sehingga Mei 2022, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah mencatatkan nilai tertinggi untuk tempoh tersebut setakat ini.

“Perdagangan naik 25.1 peratus kepada RM1.085 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport bertambah 23.5 peratus kepada RM592.97 bilion dan import meningkat 27.0 peratus kepada RM491.85 bilion. Lebihan dagangan berkembang 9.0 peratus kepada RM101.12 bilion,” katanya.

Eksport barangan perkilangan pada Mei 2022 yang mewakili 83.3 peratus daripada jumlah eksport berkembang 27.3 peratus tahun ke tahun kepada RM100.37 bilion, pertumbuhan dua digit bagi bulan ke-10 berturut-turut.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion, kata beliau.

Eksport keluaran pertanian (8.9 peratus syer) meningkat 43.9 peratus kepada RM10.77 bilion berbanding Mei 2021, pertumbuhan dua digit untuk bulan ke-15 bulan berturut-turut, kenaikan tersebut disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (7.3 peratus syer) melonjak 54.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.76 bilion, pertumbuhan dua digit bagi bulan ke-14 bulan berturut-turut disumbangkan oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Azmin berkata pada Mei 2022, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 29.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, menokok 54.6 peratus tahun ke tahun kepada RM66.99 bilion.

Eksport berkembang sebanyak 44.2 peratus kepada RM37.00 bilion hasil peningkatan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum. Import dari ASEAN pula melonjak 69.7 peratus kepada RM29.99 bilion, katanya.

Pada Mei 2022, perdagangan dengan China yang merangkumi 16.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 11.1 peratus tahun ke tahun kepada RM37.17 bilion, pertumbuhan dua digit untuk bulan ke-18 bulan berturut-turut.

Bagi Eksport ke China, ia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus kepada RM15.27 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E, import dari China pula meningkat 11.9 peratus kepada RM21.89 bilion.

Perdagangan dengan AS pada Mei 2022 yang menyumbang 8.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, ia berkembang 22.0 peratus tahun ke tahun kepada RM20.06 bilion, eksport meningkat 15.5 peratus kepada RM12.00 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E manaka;a Import dari AS naik 33.1 peratus kepada RM8.06 bilion

Perdagangan dengan EU yang mewakili 7.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2022 meningkat 30.0 peratus tahun ke tahun kepada RM17.42 bilion, eksport berkembang 30.2 peratus kepada RM9.76 bilion manakala import dari EU naik 29.7 peratus kepada RM7.66 bilion.

Pada Mei 2022, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM13.38 bilion, eksport naik 14.0 peratus kepada RM6.97 bilion.

Bagi perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), ia merangkumi 67.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 32.7% tahun ke tahun kepada RM153.68 bilion, eksport berkembang 30.8 peratus kepada RM81.95 bilion dan import naik 35.0 peratus kepada RM71.73 bilion -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan