Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21, berasal dari Tenom, Sabah, gemar mendengar alunan bacaan al-Quran menerusi cakera padat sejak berusia empat tahun serta belajar menggunakan al-Quran braille dalam bentuk naskhah, sebelum beralih ke teknologi eBraille Al-Quran ciptaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Gambar hiasan.

Alunan bacaan Al-Quran jadi pendamping pemuda kurang upaya penglihatan

ByBernama

JOHOR BAHRU, 17 Jun : Tatkala generasi muda masa kini lebih gemar mendengar muzik, seorang pemuda kurang upaya penglihatan memilih alunan bacaan al-Quran sebagai ‘halwa telinga’ dan belajar mendalami serta menghafal kalam Allah itu.

Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21, berasal dari Tenom, Sabah, gemar mendengar alunan bacaan al-Quran menerusi cakera padat sejak berusia empat tahun serta belajar menggunakan al-Quran braille dalam bentuk naskhah, sebelum beralih ke teknologi eBraille Al-Quran ciptaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Saya memilih al-Quran kerana ia merupakan garis panduan untuk semua umat manusia, sebab itu saya memilih untuk membaca dan menghafalnya.

“Rasa tenang dengar ayat al-Quran (walaupun) pada mulanya agak susah untuk menghafal dari satu juzuk ke satu juzuk, tetapi semua dapat dipelajari dengan lancar,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu ketika ditemui di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Pusat Islam Iskandar, di sini malam tadi.

Muhammad Iman Izzuddin yang pertama kali menyertai MTHQK merupakan antara 28 peserta dari seluruh negara yang bertanding bagi kategori Hafazan al-Quran 10 Juzuk.

Beliau pernah menyertai pelbagai pertandingan dan merupakan johan mewakili Sabah bagi Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan pada 2018.

Sementara itu, bapa Muhammad Iman Izzuddin, Jamaludin Kassim, 59, berkata selain mendengar alunan bacaan al-Quran menggunakan cakera padat dan membaca eBraille, anaknya juga mengikuti kelas taranum sejak berusia 15 tahun.

“Iman (Muhammad Iman Izzuddin) belajar al-Quran secara persendirian dan apabila ada kelas taranum di Sabah, ketika tingkatan tiga saya masukkan dia kelas taranum dan belajar dengan qari yang pernah mewakili Sabah.

“Sejak usia 11 tahun, Iman sudah mengikuti pertandingan di sekolah dan pernah mewakili Sabah, saya harap Iman berjaya dalam apa jua impiannya,” katanya.

Muhammad Iman Izzuddin yang mengimpikan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa turut berharap orang ramai mendekatkan diri dan berdamping dengan al-Quran untuk mendapatkan keredaan di dunia dan akhirat.

“Saya ingin memartabatkan qari orang kelainan upaya di persada antarabangsa dan di seluruh dunia… semoga impian saya tercapai insya-Allah,” katanya.

MTHQK 2022 berlangsung selama enam hari bermula 12 Jun lepas dengan penyertaan 110 peserta daripada seluruh negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan