Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: APMM Wilayah Sabah dan Labuan

Maritim Malaysia tahan kapal tangki, bawa diesel 170 ribu liter tanpa dokumen sah

ByTVS

KOTA KINABALU, 17 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan telah menahan dan menyita sebuah kapal tangki dengan muatan 170,000 liter minyak diesel dianggar bernilai RM900,000 di perairan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kapal tangki itu dikesan dalam satu operasi khas di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar sekitar jam 2.00 petang.

Menurutnya, kapal tangki terbabit dikendalikan empat kru warga tempatan termasuk nakhoda berusia lingkungan 24 hingga 72 tahun.

“Pemeriksaan ke atas muatan menemukan sejumlah 170,000 liter minyak diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal mendapati ianya sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukannya.

“Pemeriksaan dokumentasi turut menemui pelbagai kesalahan lain antaranya, pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal dan kapal beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal (Safe Manning-Ship Personal).

“Selain itu nakhoda kapal, ketua jurutera dan kru kapal juga tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, serta peralatan keselamatan juga didapati tidak mencukupi,” katanya lagi.

Kapal dan kru seterusnya ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan