KUCHING, 17 Jun : Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memohon agar peruntukan disediakan serta disalurkan secara terus kepada mereka.
Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan berkenaan kelak akan membolehkan sayap berkenaan membuat perancangan dan pelaksanaan aktiviti khidmat sosial serta kebajikan masyarakat dengan segera.
“Menerusi khidmat sosial terutamanya Program Skuad Sayang, ia telah memberi imej positif kepada PBB dan juga Gabungan Parti Sarawak (GPS),”katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Jumaat.
Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Berhubung Program Skuad Sayang, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, ia telah dilaksanakan tanpa prasangka dan berkesan dalam membantu rakyat yang memerlukan.
“Kita tampil imej GPS sebagai gabungan yang cekal dalam memimpin Sarawak serta sebagai parti yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat,”katanya.-TVS