KUCHING, 17 Jun : Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh.
Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Abang Johari yang juga Premier Sarawak itu  merupakan tunjang utama yang menyumbangkan kepada kemenangan bergaya PBB pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu.
Ujar Douglas Uggah, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dikenali rakyat sebagai Abang Jo itu juga merupakan seorang pemimpin yang berani, berpandangan jauh, tegas dan berjiwa rakyat.
“Beliau juga pintar untuk meningkatkan hasil kepada Sarawak menerusi perancangan ekonominya.
“Dasarnya mendapat sokongan padu ahli – ahli PBB yang setia, berkomitmen tinggi sehingga menyaksikan kita menang di kesemua 47 kerusi yang kita tandingi pada PRN Ke-12 lalu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Berhubung keberanian Abang Johari sebagai pemimpin Sarawak, Douglas Uggah mengimbas kembali detik ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan demi menjaga dan mempertahankan hak – hak Sarawak.
“GPS berpeluang untuk membela Sarawak dan mentadbir mengikut acuan kita sendiri,” tegasnya.
Untuk rekod, GPS merupakan gabungan empat parti tempatan di Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Rakyat (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018. -TVS